Di negeri Selangor terdapat beberapa monumen dan juga tapak bersejarah di beberapa daerah. Ini termasuklah beberapa daerah di Selangor seperti daerah Kuala Selangor, daerah Klang, daerah Kuala Langat, daerah Hulu Selangor, daerah Sepang, dan daerah Sabak Bernam.
Berikut merupakan beberapa contoh monumen dan tapak bersejarah yang terdapat di negeri Selangor:

1)  Telaga Tujuh
Telaga tujuh terletak di bawah kaki Bukit Malawati, Kuala Selangor. Ada pendapat mengatakan telaga tersebut mempunyai tujuh unit dan oleh sebab itu dinamakan telaga tujuh. Setelah adanya bekalan air paip, telaga-telaga ini telah dikambus kecuali dua unit yang masih tinggal. Ada juga pendapat yang mengatakan telaga tersebut bukanlah tujuh buah tetapi tujuh pancutan mata air terdapat dalam sebuah telaga. Satu perkara yang agak aneh mengenai telaga ini, ia tidak pernah kering walaupun beberapa ribu gelen air dikeluarkan dari telaga ini.

Telaga Tujuh, Kuala Selangor


2) Batu Hampar
Terletak di kawasan Kota Malawati. Batu Hampar ini merupakan sebuah batu pejal yang hanya beralaskan longgokan tanah pasir dan terletak di halaman istana Sultan pada waktu itu. Ia juga dikenali sebagai ‘batu pemancung’. Mengikut cerita lisan, Sultan Muhammad Shah pernah melaksanakan hukuman pancung terhadap seorang gadis istana di atas batu ini kerana didapati bermukah dengan seorang lelaki biasa yang tinggal berhampiran dengan istana. Ada juga pendapat yang mengatakan batu ini digunakan sebagai tempat memancung kepala penderhaka.

Batu Hampar di Kota Malawati, Kuala Selangor



3) Istana Jugra
Istana Jugra adalah Istana Kediaman Sultan Sir Abdul Samad. Istana dua tingkat ini dibina di atas sebidang tanah di pinggir Bukit Makam, Jugra, Kuala Langat. Pada masa dahulu di ruang tengah istana ini terdapat sebuah peti besi yang diselimuti kain kuning. Dalam peti tersebut dikatakan Sultan Sir Abdul Samad menyimpan hartanya yang berharga termasuk beberapa bilah keris kerajaan negeri Selangor. Peti besi ini pernah menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai dan ada yang mengatakan peti besi ini berpuaka atau mempunyai penunggu.



Istana Jugra, Kuala Langat.



4) Bangunan Tan Boon Chia

Bangunan ini terletak di Rasa, Kuala Kubu Bharu di daerah Hulu Selangor, kepunyaan seorang berbangsa Cina bernama Tan Boon Chia. Bangunan ini telah siap dibina sepenuhnya pada tahun 1918. Ketika perang dunia kedua, bangunan yang mempunyai 51 buah bilik ini telah dijadikan markas tentera Jepun.

Bangunan Tan Boon Chia, Kuala Kubu Bharu




5) Bangunan Standard Chartered Bank

Dahulunya dinamakan Chartered Bank dan merupakan salah satu daripada tiga buah bank yang beroperasi pada waktu itu disamping Overseas Chinese Bank dan Oriental Bank. Bank ini dibina oleh pihak Inggeris dan pernah dijadikan markas tentera Jepun dan juga pernah dijadikan sebagai tempat pemancungan kepala tahanan perang. 


Bangunan Standard Chartered Bank yang kini telah diambil alih menjadi kedai Sari 'Chennai Silk'





6) Kota Raja Mahadi

Kota Raja Mahadi terletak berdekatan dengan bangunan Majlis Perbandaran Klang. Ia dibina oleh Raja Mahadi bin Raja Sulaiman pada tahun 1866 sewaktu berlakunya perang Klang. Kota ini dijadikan kota pertahanan beliau semasa menentang Raja Abdullah selama 7 tahun. Perang Klang akhirnya tamat pada tahun 1874 dengan campur tangan pihak Inggeris.

Kota Raja Mahadi, Klang




7) Bangunan Sultan Suleiman Shah

Bangunan ini dibina pada tahun 1909 oleh Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah. Pada mulanya ia dijadikan Pejabat Daerah Klang (1909-1942 dan 1945-1973). Sewaktu pemerintahan Jepun, bangunan ini dijadikan markas Jepun. Setelah itu ia digunakan oleh Kontinjen Polis Selangor sebagai ibu pejabatnya sebelum berpindah ke Shah Alam (1973-1985). keunikan rekabentuk dan warnanya menyebabkan ia digelar 'Rumah Putih'. Bangunan ini telah diisytiharkan oleh DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 22 Februari 1989 sebagai Bangunan Sultan Suleiman Shah.

Bangunan Sultan Suleiman Shah masa ini




8) Bukit Raja

Bukit Raja terletak berhampiran dengan Bukit Malawati, Kuala Selangor. Ia merupakan Kubu pertahanan Raja Muda Nala Ibni Almarhum Sultan Salehuddin (1784-1795) sewaktu berlakunya peperangan pada tahun 1785 dengan pihak Belanda. Peperangan tersebut berkesudahan dengan Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Salehuddin dan pengikutnya dari negeri Selangor dan Pahang berjaya menawan semula Bukit Malawati daripada pihak Belanda. Di Bukit ini juga terdapat beberapa makam yang dipercayai makam kerabat Diraja Selangor.

Bukit Raja, Kuala Selangor




9) Perigi Beracun

Perigi ini terletak di pinggir jalan Bukit Malawati. ia digunakan untuk menghukum sesiapa yang menderhaka atau melakukan kesalahan besar dengan cara merendamkan sebahagian badan mereka ke dalam telaga tersebut. Berbentuk bulat dan telah dikambus pada pertengahan tahun 1977 untuk dijadikan tempat meletak kenderaan. Pada tahun 1985 Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah mengisytiharkan Bukit Malawati sebagai tempat bersejarah kerajaan awal Selangor. Maka Majlis Daerah Kuala Selangor telah membaik pulih kesan-kesan tinggalan sejarah termasuklah perigi beracun tersebut.

Perigi Beracun atau dikenali sebagai 'the poisoned well'




10) Rumah Api Bukit Malawati

Rumah api ini terletak di atas Bukit Malawati, Kuala Selangor. Ia telah dibina pada tahun 1907 oleh pihak British semasa penjajahannya di Tanah Melayu. Rumah Api ini kira-kira 83 kaki tinggi dari dasar laut dan 27 kaki tinggi dari darat. Sinaran lampu yang dipancarkan dari rumah api ini boleh memancar sejauh 25 hingga 35 batu.
 
Rumah Api, Kuala Selangor




11) Kota Malawati

Kota Malawati terletak di atas Bukit Malawati, Kuala Selangor. Berkeluasan kira-kira 500x300 ela. Kota ini dibina dengan batu pejal yang tersusun rapat dan diletakkan beberapa meriam. Pokok jati dan sena ditanam berselang 10 kaki untuk mengelakkan Kota Malawati dari runtuh. Semasa Belanda menduduki Kuala Selangor, kota ini telah diubahsuai dengan menambah beberapa meriam dan dinamakan 'Fort Altingburg'.

Kota Malawati, Kuala Selangor




12) Masjid Sultan Alaeddin

Masjid ini telah dibina di Kampung Bandar, Kuala Langat sekitar tahun 1924. Ia didirikan oleh Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah di mana rekaan bangunan telah dibuat oleh Baginda sendiri. Tiang seri dan ukiran dinding serta mimbarnya yang unik diperbuat daripada kayu cengal yang tahan lama dan bermutu tinggi. Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah dikatakan sering memberi khutbah Jumaat di masjid ini. Masjid ini dirasmikan pada tahun 1926 dan dijadikan sebagai masjid negeri Selangor pada ketika itu.

Masjid Bandar, Kuala Langat

Sumber Rujukan :

1) Muzium Sultan Alam Shah